FAKULTI BIOKEJURUTERAAN DAN TEKNOLOGI, UMK MENGHASILKAN PEMBERSIH TANGAN ANTISEPTIK SENDIRI BAGI MENANGANI PENULARAN WABAK CORONOVIRUS, COVID-19

18 Mac 2020, kesukaran untuk mendapatkan keperluan bagi mencegah dan memutuskan rantaian wabak virus corona (COVID-19), Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), UMK telah mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan pembersih tangan antiseptik sendiri UMK khususnya untuk keperluan warga UMK. Projek penghasilan pembersih tangan antiseptik ini telah dijalankan oleh pelajar-pelajar Teknologi Bioindustri dengan bantuan pembantu makmal dan pemantauan daripada pensyarah-pensyarah FBKT itu sendiri.  Sebanyak 500 botol pembersih tangan antiseptik telah dihasilkan mengikut standard formulasi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Langkah proaktif ini adalah salah satu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar dan staf UMK bagi menjamin keselamatan dan kesihatan warga kampus. Keseluruhannya, usaha proaktif ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi dapat memberikan peluang kepada pelajar-pelajar merasai pengalaman hands-on dalam penghasilan pembersih tangan antiseptik sendiri. Seterusnya, usaha ini juga dapat memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar-pelajar dan warga kampus betapa pentingnya amalan pencegahan dalam mengatasi wabak COVID-19 ini.

Artikel dan Foto: Dr Noor Fazliani Shoparwe